fbpx

[VIDEO] Dua diburu curi motosikal peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek dirakam mematahkan kunci ‘handle’ motosikal sebelum melarikan motosikal tersebut

GOMBAK- Polis sedang memburu dua suspek lelaki yang disyaki mencuri dan melarikan motosikal dari sebuah rumah sekitar Taman Selasih Fasa 2, Batu Caves, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan video tular berkait kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Katanya, laporan polis dibuat pengadu lelaki tempatan berusia 41 tahun yang merupakan seorang peguam sivil kira-kira pukul 5.44 petang semalam.

“Peguam sivil berkenaan memaklumkan motosikal jenis Yamaha LC 135 milik keluarganya telah dicuri dan dilarikan.

“Siasatan polis mendedahkan bahawa kejadian berlaku sekitar pukul 3.20 petang semalam.

“Menurut pengadu, dua lelaki menaiki sebuah motosikal dipercayai Yamaha Y15 dan memakai baju hujan telah masuk ke dalam ‘porch’ rumah dengan membuka pintu pagar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek dipercayai telah mematahkan kunci ‘handle’ motosikal dan melarikan motosikal tersebut.

“Berikutan laporan dibuat mangsa, kita telah memperhebat usaha untuk mengesan suspek dan pencarian masih diteruskan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motosikal,” ujarnya.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Sarjan Muhammad Ekhmal Nasir Khan di talian 013–3020385 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI