fbpx

Culas tunai nafkah antara punca utama perceraian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'im (tengah) ketika bergambar bersama para pelajar pada program Anak Muda Hero Keluarga Jakim di UTM Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Masalah kewangan merupakan antara punca utama pergaduhan dalam sesebuah institusi rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, masalah tersebut sering berpunca daripada suami atau bapa yang culas dalam memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Beliau yang juga Mantan Ketua Pengarah merangkap Mantan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkata, apabila perkara itu dibangkitkan oleh si isteri, pergaduhan akan disusuli dengan kes penderaan.

“Nafkah ni bukan sahaja makan, minum atau tempat tinggal. Tetapi nafkah kasih sayang juga. Banyak keadaan dimana isteri-isteri memfailkan tuntutan cerai sebab mereka tidak dapat nafkah langsung. Begitu juga dengan anak-anak.

“Tanggungjawab keluarga pula diserahkan kepada isteri. Ada kes dimana gaji isteri yang telah bekerja dengan teruk, setiap bulan diambil oleh suami.

“Bila isteri nasihat, timbul pula kemarahan suami yang akhirnya melakukan penderaan fizikal dan emosi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Anak Muda Hero Keluarga Sempena Sambutan Hari Bapa 2024, di Universiti Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.

Program yang diadakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Pertubuhan IKRAM hari ini dianjurkan bagi mendidik golongan muda mengenai tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada masa akan datang.

Seramai 350 peserta terdiri daripada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam serta swasta, anak muda dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti sekitar Lembah Klang telah menghadiri program tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, dalam memperkukuhkan institusi keluarga, bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam menjalankan tangggungjawab sebagai pembimbing.

Katanya, susulan itu, program sembang santai hari ini dianjurkan buat anak-anak muda bagi mendidik sekali gus mengisi ilmu pengetahuan sebelum mereka ini mengambil keputusan untuk membina keluarga bahagia.

“Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program hari ini dan berharap dapat menganjurkan lagi program sebegini pada masa akan datang supaya nilai kepimpinan dalam kalangan anak muda dapat dibentuk.

“Ini selari dengan hasrat kerajaan untuk membentuk satu masyarakat Madani yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang berhasrat untuk melahirkan masyarakat yang tinggi budi pekerti dan nilai-nilai akhlak sempurna,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI