KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan akan membedah siasat bangkai seekor harimau belang yang ditemui penduduk kampung di dalam Sungai Pergau, Kampung Kandek di Dabong dekat Kuala Krai semalam.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tiada kesan kecederaan, tembakan atau jerat pada badan harimau belang itu selepas pemeriksaan awal fizikal dilakukan oleh anggota Perhilitan.
Menurutnya, sehubungan itu, bangkai hidupan liar itu telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai di Perak untuk prosedur bedah siasat.
Mohamad Hafid memberitahu, lokasi kedudukan bangkai haiwan itu agar sukar diakses kerana terletak di dalam Sungai Pergau.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan penduduk mengangkat bangkai seekor harimau belang dari dalam bot di Sungai Pergau, Kuala Krai.
Bangkai haiwan itu kemudiannya dibawa naik ke atas sebuah trak pikap. – KOSMO! ONLINE