KLANG – Sebanyak 18,642 permohonan diterima bagi bantuan tunai Budi Agri-Komoditi yang dilaksanakan kerajaan susulan pelaksanaan pelarasan subsidi diesel setakat ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, permohonan itu antaranya melibatkan golongan petani dan pekebun kecil di seluruh Semenanjung.
“Rekod terbaharu mendapati jumlahnya sudah banyak dan berharap lebih ramai lagi membuat permohonan itu.
“Kita (kementerian) semestinya akan membantu memudahkan urusan kepada pemohon inisiatif kerajaan itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest di AEON Bukit Tinggi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kata Mohamad, Malaysia berpotensi untuk menerokai pasaran produk makanan ke Negara Bebas Komanwel (CIS) bagi meningkatkan lagi jumlah eksport negara.
“Sebagai contoh, kopi negara kita seperti Tongkat Ali turut dikenali di luar negara dan boleh diterima pasaran antarabangsa. Justeru, kita perlu menggunakan peluang itu untuk menerokainya di negara CIS seperti Kazakhstan dan Tajikistan,” ujarnya.
Ditanya mengenai usaha KPKM membantu masyarakat Orang Asli mengusahakan tanaman durian dalam skala besar, kata beliau, perkara itu masih dalam perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). – KOSMO! OLNE