fbpx

11 kilang pencemar alam sekitar dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kilang yang diambil tindakan dalam Operasi Gempur Bersepadu Zon Tengah.

SHAH ALAM – Sebanyak 11 buah kilang yang menyebabkan pencemaran alam sekitar diambil tindakan tegas dalam Operasi Gempur Bersepadu Zon Tengah baru-baru ini.

Operasi dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama dua hari bermula Rabu lalu memfokuskan kepada lapan sektor industri dan punca pencemar yang berisiko tinggi.

JAS Selangor dalam kenyataan memaklumkan, ini termasuk kilang-kilang dilesenkan oleh JAS yang terletak di hulu takat pengambilan air.

Katanya, pemeriksaan dilakukan terhadap 32 premis di dalam Daerah Petaling, Kuala Selangor, Sepang, Gombak, Hulu Langat dan Kajang.

“Keutamaan pemeriksaan juga mengambil kira premis yang berada di dalam Lembangan Sungai Buloh dan Sungai Langat.

“Hasil operasi yang dijalankan sebanyak 11 kilang diambil tindakan tegas selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan itu, JAS Selangor turut memaklumkan sebanyak 28 tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah perundangan tersebut.

Ini merangkumi 11 Notis Arahan dan satu Penahanan Operasi Kelengkapan(POK) dikenakan ke atas sebuah premis yang didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dengan pengendalian Sistem Kawalan Pencemar Udara dan Alat Pembakar Bahan Api.

“Selain itu, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka atas kesalahan pelbagai di bawah akta yang sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI