LIPIS – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara kepada tabika pra tahfiz menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengusulkan cadangan berkenaan kepada Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah yang ketika itu dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memperkasa pendidikan al-Quran dalam kalangan kanak-kanak.
“Saya mempersembahkan kepada Tuanku (Al Sultan Abdullah), pada tahun 2030 iaitu kira-kira enam tahun dari sekarang, Insya-Allah tabika Kemas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kita akan pastikan 100 peratus tabika ini akan menjadi pra tahfiz. Mudah-mudahan ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Bagi murid bukan Islam, kita ada kaedah lain untuk pengajaran keagamaan kepada anak-anak.
“Namun dalam perkara begini, saya fikir bahawa anak-anak orang Islam khususnya di kawasan desa dan luar bandar yang sangat memerlukan pengajaran ini kita akan teruskan,” katanya ketika berucap pada Program Sembang Santai Bersama-sama Komuniti Daerah Lipis di Dewan Residen Lipis di sini hari ini.
Ahmad Zahid menjelaskan, KKDW dan Kemas juga akan mencari jalan supaya Pendidikan Islam khususnya untuk anak-anak pra sekolah dapat diajar menerusi kerjasama Yayasan Pahang dan Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (PINTAR).
Ujarnya, kerajaan juga menjalin kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengajar guru-guru yang tidak ada latar belakang pendidikan agama mengajar al-Quran dan agama Islam. – KOSMO! ONLINE