KANGAR – Seorang pemilik restoran yang pulang bercuti di Hatyai, Thailand ditahan kerana membawa wang tunai sebanyak RM65,160 secara salah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, dekat sini pada Isnin lalu.
Wanita tempatan berusia 47 tahun itu ditahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Laluan Import Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di kompleks tersebut kira-kira pukul 2.40 petang.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, suspek ditahan untuk pemeriksaan selepas mesin pengimbas bagasi mengesyaki beg galas dibawanya membawa sejumlah wang tunai.
“Pegawai bertugas bertindak memeriksa beg galas itu dan mendapati ia mengandungi wang tunai mata wang Ringgit Malaysia berjumlah RM65,160.
“Wanita terbabit didapati gagal membuat pengikraran mata wang dalam Borang Kastam 7 serta gagal mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana membawa mata wang Ringgit Malaysia melebihi AS$10,000,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis, di sini hari ini.
Kata beliau, suspek memberi alasan membawa wang tersebut kerana menganggapnya lebih selamat, berbanding menyimpan di mana-mana institusi kewangan.
“Dalam pemikiran wanita itu, tindakan membawa wang dalam jumlah banyak ke mana-mana dia pergi adalah lebih selamat. Namun tindakannya kali ini dikesan ketika mahu masuk ke Malaysia selepas mendakwa bercuti di Hatyai.
“Suspek mendakwa ke negara jiran berseorangan dan pulang dengan menaiki van,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE