PETALING JAYA – Seorang ramaja lelaki berasal daripada Nigeria dikenali sebagai ‘Mat Nigeria’ yang petah bercakap dalam dialek Kelantan menarik perhatian orang ramai selepas video dirinya itu tular di media sosial.
Menerusi perkongsian video di laman TikTok @goleng120, Mat Nigeria juga aktif bermain bola sepak bersama penduduk Melayu lain semenjak dua tahun menetap di Kelantan selepas mengikut bapanya yang bekerja sini.
Difahamkan, remaja lelaki terbabit juga akan pulang semula ke negara asalnya selepas bapanya sudah selesai berkhidmat di sini.
“Nama aku Muhammad Al-amin Bin Abu Bakar, aku 14 tahun, ayah aku mari sini sebab nok ‘kijo’ (kerja). Lepas tu nok balik doh sebab ayah aku ada kontrak baru dekat sana.
“Duduk sini (Kelantan) dah dua tahun, boleh ‘kecek kelate’ (cakap Kelantan) sebab belajar dengan ‘saing-saing’ (kawan-kawan),” ujar Mat Nigeria dalam dialek Kelantan.
Meninjau ke ruang komen, rata-rata pengguna kagum dengan kebolehan remaja lelaki tersebut yang mampu untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu menggunakan dialek Kelantan.
“Kenapa orang asing mudah belajar bahasa kita, sedangkan orang kita lahir sini pun masih tak pandai bercakap dalam Bahasa Melayu,” soal @miorfatdhil.
“Nampak sedih je dia, mungkin dia tidak sanggup nak tinggalkan tempat dia duduk sekarang ni. Mat mesti akan rindu Kelantan nanti,” komen @amal.
“Bangga tengok dia fasih cakap Kelantan walaupun baru sekejap duduk dekat sini, steady Mat Nigeria,” ujar @Kamal. – KOSMO! ONLINE
@goleng120 #matnigeria ♬ bunyi asal – goleng12