KLUANG – Tiga maut manakala seorang parah selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Renggam ke Simpang Renggam, malam tadi.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shoromi Salih berkata, kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki oleh empat lelaki berusia 21 tahun.
Katanya, bertindak atas maklumat, seramai 14 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Renggam dan Kluang bersama dua jentera FRT, kenderaan Unit EMRS serta sebuah motosikal Unit RIM dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pemeriksaan mendapati semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan,” katanya hari ini.
Menurut Shoromi, semua mangsa berjaya dikeluarkan namun tiga daripada mereka disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala seorang cedera parah. – KOSMO! ONLINE