PETALING JAYA – “Sekarang saya sudah ada dua ‘syurga’, satu mak India satu ummi Melayu,” itu respon Nurhidayah Abdullah selepas berkongsi momen indah bertemu semula dengan ibu kandungnya selepas mereka terpisah sejak 27 tahun lalu.
Nurhidayah, 27, menjadi bualan di media sosial selepas tular rakaman memaparkan dia bertemu dengan ibu kandungnya, P. Murugamah, 51 dalam satu pertemuan di Beranang dekat Hulu Langat, Selangor Sabtu lalu.
Penyatuan semula dua beranak itu mendapat perhatian orang amai selepas rakan sekerjanya iaitu Atilia memuat naik video pertemuan dengan ibunya di TikTok sehingga meraih lebih 500,000 tontonan.
Menerusi video itu, jelas kerinduan pada wajah Nurhidayah dan Murugamah, 51, selepas mereka dapat bertentang mata dan terus berpelukan sambil menangis.
Berkongsi cerita, Nurhidayah atau nama asalnya Aisha berkata, sehingga hari ni dia masih tidak percaya diberi peluang untuk bertemu dengan ibu kandungnya.
Katanya, dia dilahirkan pada 17 Mac 1997 dan dua hari selepas itu, ibunya menyerahkan kepada sepasang suami isteri Melayu untuk dijaga kerana berdepan masalah keluarga serta kewangan.
“Pada awalnya, mak nak serahkan saya di bawah jagaan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan pada masa sama, datuk saya bekerja di JKM ada kenal satu pasangan Melayu yang sedang cari anak angkat selepas 10 tahun kahwin tiada anak.
“Datuk hubungi keluarga angkat saya ketika itu dan tanya nak tak anak angkat tapi bangsa India. Mereka sangat terbuka terima saya dan sehingga kini jaga saya dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, sejak kecil lagi dia telah diislamkan dan dibesarkan dengan ilmu agama yang cukup oleh keluarga angkat iaitu Jamilah Mohammad, 57, serta suami, Omar Ismail, 62.
“Ummi dan ayah (keluarga angkat) dari kecil lagi sudah maklumkan awa saya ini anak angkat mereka, dan ada keluarga kandung di luar sana. Tapi sebelum ini saya langsung tak ada rasa nak cari mereka sebab perasaan dendam kenapa mak buang saya, kenapa mak tak jaga saya.
“Sehinggalah minggu lepas secara tiba-tiba saya nak tahu sangat mana mak saya tinggal sekarang. Satu hari saya balik kampung, saya minta nak tengok sijil lahir asal saya pada ummi.
“Kemudian bila dah balik Seremban semula, saya terus buat semakan melalui sistem SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan keluar alamat, nama mak saya,” katanya.
Nurhidayah mengakui dia mengambil masa beberapa hari untuk membuat keputusan sama ada perlu atau tidak ke alamat tersebut untuk berjumpa dengan ibu kandungnya.
“Sabtu lalu, lepas habis kerja dalam pukul 1 tengah hari, saya ajak Kak Lia (kawan sekerja) untuk teman saya ke Beranang.
“Sambil kami mencari, saya rasa tertarik pada satu rumah, dan bila semak alamat ia sama dan secara kebetulan pintu rumah mak terbuka. Kami lalu depan rumah dan saya nampak sosok seorang wanita yang saya rasa dia mak saya.
“Terus saya rasa macam kaku sekejap, tak tahu nak buat apa dan minta Kak Lia yang sapa penghuni dalam rumah tersebut. Kak Lia serahkan mak satu surat yang saya sediakan sehari sebelum kejadian dan akhirnya memang betul, Wanita itu mak kandung saya, syurga yang saya perlukan selama ini,” luahnya.
Ketika ditanya Kosmo!, apakah perancangan Nurhidayah selepas ini, dia memberitahu bahawa akan membawa keluarga angkatnya bertemu dengan Murugamah apabila pertemuan mereka itu hanya berlaku pada 27 tahun yang lalu. – KOSMO! ONLINE