fbpx

Ringgit punya potensi nyata untuk menambah nilai – FMC BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ringgit mempunyai potensi yang nyata untuk menambah nilai dan menjadi antara mata wang yang akan mendapat manfaat banyak daripada pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), memandangkan pergerakan berlebihan semasa kitaran kenaikan kadar.

Menurut ringkasan Masyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Bank Negara Malaysia (BNM) yang diadakan semalam, ahli mesyuarat mengambil maklum bahawa sentimen asing kekal positif dan semakin bertambah baik, berikutan usaha libat urus bersama pelabur secara kolektif oleh kerajaan, BNM dan peserta industri.

“Mesyuarat optimis terhadap prospek jangka pendek ringgit.

“Meskipun rintangan masih wujud termasuk risiko geopolitik, ketidakpastian berhubung dengan trajektori kenaikan kadar AS serta pengaturan masa dan tahap selanjutnya bagi rasionalisasi subsidi dalam negeri, ahli mesyuarat yakin bahawa kestabilan pasaran domestik yang berterusan dan usaha terselaras oleh semua pihak yang terlibat akan akhirnya memperkukuh prestasi ringgit.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa median unjuran Bloomberg terkini bagi USD/MYR adalah pada 4.65 untuk akhir tahun 2024 dan 4.45 untuk akhir tahun 2025,” katanya.

Berhubung perkembangan pasaran kewangan domestik, ringkasan mesyuarat tersebut berkata, Dolar AS secara amnya kukuh baru-baru ini apabila peserta pasaran menyesuaikan jangkaan mereka berhubung dengan pengurangan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed), daripada enam kali pada awal tahun ini kepada hanya satu atau dua kali untuk tahun 2024.

Jelasnya, tindakan ini telah menyumbang kepada volatiliti dalam pasaran.

Meskipun menjangkakan hanya ada satu atau dua pengurangan kadar Fed pada 2024, mesyuarat mengambil maklum bahawa ringgit terus berdaya tahan dan hanya menurun nilai sebanyak 2.6 peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun sehingga kini.

Prestasi berkenaan meletakkan ringgit pada tempat ketiga dalam kalangan 10 mata wang serantau (di belakang Rupee India, -0.4 peratus dan Yuan China, -2.3 peratus).

“Sejak 26 Februari, ringgit merupakan satu-satunya mata wang yang menambah nilai berbanding dolar, iaitu mengukuh sebanyak 1.3 peratus.

“Hal ini merupakan bukti kesan positif hasil daripada tindakan terselaras yang dilaksanakan oleh kerajaan dan BNM untuk menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten dan tepat pada masanya oleh syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI