fbpx

Rasuah lebuh raya RM1 bilion: SPRM reman ketua penolong pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek direman selama empat hari selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. - Foto oleh IHSAN SPRM

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ketua penolong pengarah sebuah badan berkanun kerana dipercayai menerima rasuah lebih RM146,000 daripada satu syarikat.

Difahamkan, rasuah itu sebagai dorongan mendapatkan kerja-kerja bagi projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Perintah reman selama empat hari sehingga 1 Julai 2024 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, suspek yang berkhidmat di sebuah badan berkanun itu telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 10 malam tadi.

Katanya, suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada satu syarikat sebagai balasan mendapat kontrak kerja membabitkan pembinaan sebuah lebuh raya.

Dalam perkembangan sama, Majistret Nazira Adlin turut membenarkan permohonan SPRM menyambung reman empat suspek termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya bermula 29 Jun hingga 2 Julai 2024.

Pada Selasa lalu, SPRM telah menahan reman tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya termasuk seorang CEO selama empat hari selain turut menahan reman seorang lagi pegawai syarikat berkenaan selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat yang mengambil alih kerja di dua projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang masing-masing bernilai lebih RM1 bilion dan RM670 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap seorang lagi suspek serta penyambungan reman terhadap keempat-empat suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI