fbpx

Ramai wanita cemerlang akademik, tak sumbang tenaga buruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kiri) Tengku Zafrul, Steven, Nancy dan Zambry pada Program Perintis Kecemerlangan Menteri sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 di MITEC, malam ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Malaysia berada di kedudukan ke-114 daripada 146 negara, sekali gus turun 12 anak tangga berbanding tahun lalu berhubung Indeks Jurang Gender Global 2024 oleh Forum Ekonomi Dunia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, laporan tersebut yang diterbitkan pada 11 Jun lalu juga mendapati, secara keseluruhan Malaysia berada di kedudukan ke-80 untuk kesihatan dan kelangsungan hidup.

Menurutnya, selain itu, Malaysia berada di tangga ke-102 bagi penyertaan dan peluang ekonomi serta berada paling rendah dalam politik iaitu ke-134.

“Dalam laporan sama juga, menariknya Malaysia berada di kedudukan pertama bersama 27 negara lain berhubung kesaksamaan jantina dalam pencapaian pendidikan sekali gus menunjukkan negara mencapai kesamarataan jantina dalam pendidikan dengan skor 1.00.

“Bahkan, kadar enrolmen pelajar perempuan menunjukkan konsisten lebih tinggi daripada pelajar lelaki di semua peringkat, dengan yang tertinggi perbezaannya adalah peringkat pendidikan tinggi. Pada 2023, wanita membentuk 61.2 peratus daripada keseluruhan populasi pelajar dalam institusi pendidikan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Perintis Kecemerlangan Menteri bersempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam ini.

Nancy berkata, biarpun kejayaan pendidikan yang cemerlang itu dalam kalangan wanita, ia masih belum diterjemahkan kepada penyertaan tenaga buruh yang lebih besar.

Katanya, data Jabatan Perangkaan mendapati, walaupun terdapat aliran menaik, kadar penyertaan tenaga buruh wanita hanya 56.2 peratus berbanding 82.0 peratus bagi lelaki pada tahun 2022.

“Jadi apa sebenarnya berlaku di sini? Wanita berada dalam keadaan baik dari segi pencapaian akademik, tapi ‘lemah’ dalam ekonomi, kehidupan sosial dan politik. Apa yang kita lakukan mengenai perkara ini?

“Kajian Tenaga Buruh 2022 menunjukkan, wanita menyumbang bahagian terbesar populasi di luar tenaga buruh (66.9 peratus), dengan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga menjadi sebab utama mereka tidak mengambil bahagian. Kategori ini mengambil kira 44.5 peratus wanita di luar tenaga buruh,” ujarnya.

Selain Nancy, tiga menteri lain turut menjadi ahli panel ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI