SEBERANG PERAI – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin mendedahkan yang beliau hanya tidur kira-kira tiga jam setiap hari susulan jadual kempennya yang padat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Beliau walau bagaimanapun berkata, ia sudah menjadi kebiasaan sejak beliau turun padang berkempen mulai hari penamaan calon pada 22 Jun lalu.
“Saya tidur lebih kurang tiga jam sehari dan turut mengambil makanan tambahan (supplement) untuk meningkatkan stamina supaya lebih bertenaga setiap hari.
“Jadual kempen yang sudah memasuki hari ketujuh ini benar-benar padat dan kebiasaannya setiap hari sekurang-kurangnya 12 program kempen dilaksanakan namun jumlah itu akan berganda pada hujung minggu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program ‘walkabout’ di Pasar Malam Sungai Duri, Nibong Tebal di sini semalam.
Mengulas lanjut, bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu berpandangan kempen yang berlangsung semakin diterima positif oleh para pengundi.
“Ramai masyarakat setempat yang ditemui menyatakan kepercayaan mereka terhadap saya malah saya percaya kalau momentum ini berterusan kita akan dapat mencapai kejayaan dalam PRK kali ini.
“Saya nampak tidak ada lah yang menolak dan semua memberikan sokongan sekali gus menaikkan semangat saya untuk terus memperhebatkan kempen berbekalkan masa yang berbaki ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE