BEIJING – Seorang pencuri meninggalkan sekeping nota meminta pemilik barang yang dicuri di sebuah pejabat di Shanghai memperbaiki sistem antikecuriannya, lapor saluran televisyen NDTV kelmarin.
Polis Shanghai berkata, kejadian berlaku pada 17 Mei apabila pencuri itu memecah masuk ke dalam pejabat berkenaan lalu mencuri seutas jam tangan, telefon bimbit serta sebuah komputer Apple MacBook.
Dia meninggalkan nota dan meminta mangsa menaik taraf sistem keselamatan pejabat berkenaan.
“Majikan yang dihormati, saya mengambil jam tangan dan komputer riba. Anda harus memperbaiki sistem antikecurian anda. Saya tidak mengambil semua telefon dan komputer riba kerana bimbang ia mungkin menjejaskan perniagaan anda.
“Hubungi saya jika anda mahu komputer riba dan telefon anda kembali,” tulis lelaki itu.
Polis mengesan lelaki itu menggunakan kamera pengawasan awam dan nombor telefon yang ditinggalkannya.
“Dia ditahan beberapa jam kemudian ketika cuba meninggalkan Shanghai. Dia juga masih menyimpan barang yang dicuri,” kata polis.
Perbuatan lelaki itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial. – AGENSI