fbpx

Pelajar UPM dipatuk ular kapak ketika daki Gunung Tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANGSA menaiki helikopter bomba untuk dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Lipis di Lipis hari ini.

LIPIS – Kegembiraan sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan aktiviti pendakian Gunung Tahan bertukar menjadi detik mencemaskan apabila seorang pendaki wanita dipatuk ular berbisa semalam.

Difahamkan mangsa, Siti Nuraqilah Azmi,20, dipatuk ular kapak ketika sedang mandi di Kem Botak yang mengambil masa 10 jam pendakian.

Mangsa yang berasal dari Kedah bersama 35 pelajar UPM dan tiga staf bersama dua malim gunung serta empat kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan aktiviti pendakian bermula 25 Jun lalu dan dijangka berakhir esok.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu mangsa, yang sedang mandi di Kem Botak di sini dipatuk ular pada bahagian tangan kiri iaitu antara ibu jari dan jari telunjuk.

“Tindakan rawatan awal ke atas mangsa telah dilakukan oleh peserta pendakian.

“Memandangkan kejadian berlaku pada waktu malam dan jarak perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa 10 jam pendakian, operasi menyelamat dilakukan hari ini menggunakan helikopter bomba,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya mangsa sampai ke Hospital Lipis pada pukul 10.20 pagi hari ini bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bantuan unit pesawat dari Unit Udara Bomba telah digerakkan pada pukul 8.15 pagi.

Katanya, helikopter berjaya sampai ke lokasi kejadian di Bukit Botak bagi mengambil mangsa pada pukul 9.39 pagi sebelum sampai ke Bukit Bius pada pukul 9.55 pagi.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dibawa ke Hospital Lipis bagi mendapat rawatan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI