fbpx

[VIDEO] Pak cik hulur duit tepi jalan, Syed Saddiq raih RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED SADDIQ ketika meneruskan larian di Ayer Molek, Melaka hari ini.

MELAKA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul dana sumbangan berjumlah RM25,000 dalam tempoh kurang 12 jam selepas memulakan larian Langkah Muar, awal pagi tadi.

Larian sejauh 200 kilometer (km) yang bermula dari Jambatan Muar di Bentayan, Muar sehingga ke Parlimen itu dibuat sebagai tanda protes terhadap kerajaan yang menarik semula peruntukan bagi Parlimen pembangkang.

Ia juga bagi mengumpul dana sebanyak RM100,000 bagi pelbagai kegunaan pusat khidmat rakyat Parlimen Muar termasuk membantu golongan veteran dengan keperluan seperti lampin pakai buang atau susu formula.

Menurutnya, setakat pukul 1 petang tadi beliau berjaya menghabiskan larian sejauh 34 km dan akan meneruskan larian sehingga pukul 10 malam nanti bagi mencapai sasaran 70km sehari.

Jelasnya, sepanjang larian tersebut dana sebanyak RM25,000 berjaya dikumpulkan hasil daripada sumbangan orang ramai termasuk penduduk tempatan yang secara spontan menghulurkan wang tunai ketika beliau melakukan larian di negeri ini.

“Alhamdulillah atas sokongan dan dorongan daripada rakyat saya telah mengutip RM25,000 dalam tempoh kurang 12 jam, saya betul-betul terhutang budi kepada rakyat kerana memberikan sokongan serta dorongan.

“Paling unik sekali sambil berlari ke Melaka sebentar tadi, ramai juga kereta, pak cik dan mak cik berhenti untuk berikan makanan serta minuman, memang saya terharu.

“Malah ada pak cik bernama Abdul Rahman dan Nor Hisham berhenti siap berikan sumbangan terus dan saya amanahkan kepada pegawai saya untuk terus bank-in secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di Ayer Molek, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dia akan meneruskan larian sehingga ke Alor Gajah dan akan berhenti berehat sebelum menuju ke Negeri Sembilan.

“Kita ada masa dua hari lagi. Sakit (cabaran) itu biar di dalam yang penting terus ke hadapan, hujan atau panas saya akan teruskan kerana tempoh masa agak singkat.

“Setiap hari saya perlu habiskan satu Ultramarathon melebihi 60 km, kalau tidak saya tidak akan sampai Parlimen Isnin ini yang akan mula bersidang pada pukul 10 pagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI