FLORENCE – Pelumba MotoGP Repsol Honda, Johann Zarco mengakui bahawa juara enam kali MotoGP, Marc Marquez mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan untuk menyesuaikan diri dengan Ducati.
Marquez kekal dalam saingan merebut gelaran dunia di belakang Jorge Martin dan Francesco Bagnaia yang kedua-duanya menunggang jentera GP24 berbanding Marquez dengan jentera GP23.
Pelumba Ducati itu mengambil sedikit masa untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan jentera baharunya di awal perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini, namun kini mula menunjukkan prestasi cemerlang sejak kebelakangan ini.
“Sebenarnya saya menjangkakan dia lebih kuat, saya fikir dia akan beraksi cemerlang dan menewaskan persaingan yang lain. Kemudian saya sedar dia dilihat memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Melihat Marc (Marquez) memerlukan masa untuk menyesuaikan diri membuatkan saya lebih percaya dia mampu melakukannya. Saya katakan begini kerana pelumba terhebat juga perlu melaluinya walaupun jika dia dapat lakukannya dengan lebih cepat daripada saya.
“Ini memberi saya motivasi dan membuat saya sedar bahawa setiap jentera terdapat perkara-perkara yang perlu difahami,” kata Zarco.
Zarco meninggalkan Ducati untuk menyertai Honda dalam usaha melanjutkan kerjayanya di MotoGP, namun seakan menyesal apabila kini dapat melihat sendiri kebaikan yang ditunjukkan bekas pasukannya.
Bagaimanapun, situasi tersebut tidak menghalang pelumba Perancis itu untuk bangkit mengubah keadaan dan berhasrat untuk kekal di MotoGP selama beberapa musim lagi.
“Saya sangat seronok di MotoGP. Tahap persaingan sangat tinggi dan ia memberi saya kegembiraan untuk terus berkembang sebagai pelumba,” tambahnya. – AGENSI