fbpx

Marrybrown sasar buka lebih 30 cawangan di Kemboja, Uzbekistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Joshua Liew (tengah, duduk) pada majlis pemeteraian MoU Marrybrown Malaysia untuk pengembangan perniagaan di Kemboja dan Uzbekistan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Setelah berjaya meluaskan pasarannya dengan membuka cawangan di Australia tahun lalu, Marrybrown Sdn. Bhd. (Marrybrown), rangkaian Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) halal tempatan terbesar, telah memeterai me­morandum persefahaman untuk membuka outlet terbaharunya di Kemboja dan Uzbekistan tidak lama lagi.

MoU itu ditandatangani syarikat dengan SP QSR and Food Services Co. Ltd. serta Gemilang International Limited.

Pengarah Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata, pihaknya kini agresif untuk membuka lebih 30 cawangan baharu di Kemboja dan Uzbekistan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, susulan permintaan makanan halal yang menggalakkan dari negara tersebut sebelum ini, pihaknya sedang membuka peluang yang lebih meluas dalam memperkenalkan Ayam Goreng MB yang digemari ramai serta pelbagai lagi hidangan inovatif dengan sajian istimewa Malaysia di luar negara.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, syarikat tetap ­mengutamakan perluasan pasarannya di dalam negara.

“Kerjasama ini adalah rancangan perkembangan antarabangsa kami.

“Dengan pengalaman dan pengetahuan yang meluas tentang pasaran tempatan, kami optimis bahawa kerjasama ini akan mendatangkan kejayaan yang luar biasa.

“Pembukaan cawangan terbaharu ini membolehkan kami mengetengahkan pengalaman pemakanan yang unik dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan baharu,” katanya dalam kenyataan bersempena pemeteraian MoU tersebut di sini baru-baru ini.

Liew menjelaskan, susulan MoU tersebut, Marrybrown kini bersedia untuk melancarkan cawangan pertamanya di Phnom Penh, Kemboja dengan menawarkan hidangan kegemaran ramai iaitu Ayam Goreng MB, Nasi Lemak MB dan banyak lagi hidangan istimewa yang lazat.

“Perluasan ini memberi peluang kepada kami menawarkan hidangan enak cita rasa Malaysia yang diperakui halal,” jelasnya.

Bagi projek pengembangan outlet di Uzbekistan, sasaran lokasinya adalah di Tashkent City yang akan memberi peluang kepada syarikat menawarkan hidangan lazat Malaysia kepada rakyat negara tersebut.

Marrybrown kini memiliki lebih daripada 500 restoran di 16 buah negara dengan penyediaan standard kualiti, servis, kebersihan dan nilai tertinggi untuk pengalaman pemakanan yang sempurna. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI