fbpx

Lebanon minta PBB sambung mandat UNIFIL awasi perbatasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENDERAAN perisai UNIFIL meronda di Kampung Khiam, selatan Lebanon yang bersempadan dengan Israel pada 21 Mei 2023. – AFP

BEIRUT – Kementerian Luar Lebanon menghantar sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres untuk meminta supaya mandat tentera pengaman PBB (UNIFIL) disambung setahun lagi.

Akhbar Arab News melaporkan, permintaan itu dibuat selepas pertempuran di sempadan antara kumpulan Hizbollah dan tentera Israel berlarutan selama lapan bulan.

“Pangkalan dan kenderaan ka­mi ditembak oleh kedua-dua belah pihak.

“Beberapa anggota pasukan pengaman mengalami kecede­raan tidak kritikal dan langkah-langkah sedang diambil oleh kepimpinan UNIFIL untuk memastikan keselamatan pasukan pengaman ini,” kata jurucakap Pejabat Media UNIFIL, Candice Ardell.

Sementara itu, bahagian hadapan selatan Lebanon masih terdedah kepada operasi ketenteraan termasuk insiden di mana sebuah dron Israel menyasarkan talian elektrik di perkampungan Taybeh.

Ia berlaku hanya beberapa minit selepas syarikat penyedia elektrik selesai melakukan kerja penyelenggaraan. Bedilan itu menyebabkan gangguan elektrik di kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock mengadakan perbincangan di Beirut bersama Perdana Menteri caretaker, Najib Mikati dan Menteri Luar Lebanon, Abdullah Bou Habib.

Ia adalah sebahagian daripada usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan di selatan Lebanon selepas beliau mengadakan lawatan serupa ke Tel Aviv dan Tebing Barat.

“Keadaan di Laluan Biru (sempadan Israel-Lebanon) adalah rumit dan terdapat risiko. Kerjasama antara semua pihak adalah perlu untuk mengurangkan pe­ningkatan dan mencapai gencatan senjata di Gaza yang membawa kepada gencatan senjata di selatan Lebanon,” katanya.

Baerbock juga menyatakan kebimbangan Berlin mengenai ketegangan semasa di rantau itu, selain memberi amaran tentang ‘bahaya sekiranya mencapai jalan buntu, terutamanya jika ­kedua-dua pihak enggan mengadakan gencatan senjata’.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata dalam lawatannya ke Washington bahawa Rejim Zionis enggan berperang di Lebanon tetapi bersedia untuk mencetuskan ‘kemusnahan besar’ ke atas Hizbollah jika usaha diplomasi gagal.

“Kami tidak mahu berperang, namun kami bersiap sedia untuk setiap senario,” kata Gallant kepada pemberita semasa lawatannya yang berakhir kelmarin.

“Hizbollah sangat memahami bahawa kami boleh mendatangkan kerosakan besar di Lebanon jika perang dilancarkan,” kata­nya.

Ketegangan semakin mening­kat dengan peningkatan pertempuran di sepanjang sempadan Israel dan kumpulan yang disokong Iran itu sejak serangan askar Rejim Zionis ke atas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

Gallant berkata, tentera Israel telah membunuh lebih 400 anggota Hizbollah dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan semula sokongan Ankara kepada Lebanon dan menyeru negara-negara rantau Asia Barat melakukan perkara sama ketika ketegangan dengan Israel semakin memuncak.

“Israel telah membakar dan memusnahkan Gaza dan kini nampaknya memusatkan perhatiannya ke Lebanon sementara kita melihat ia menerima sokongan rahsia dari Barat,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI