MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan untuk melakukan penambahbaikan pakaian rasmi kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 susulan kecaman terhadap reka bentuk sedia ada daripada pelbagai pihak termasuk atlet negara.
Bukan itu sahaja, tidak sampai 24 jam melancarkan pakaian rasmi kontinjen negara, media sosial dibanjiri pelbagai kritikan netizen yang melontarkan rasa tidak puas hati berhubung rekaan pakaian berkenaan.
Justeru tidak mengambil masa yang lama, netizen segera ‘mencantikkan’ pakaian rasmi itu mengikut kreativiti masing-masing termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) lebih menarik dan mendapat pujian ekoran bersifat global dan lebih ‘garang’ berbanding rekaan asal.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melalui satu kenyataan media hari ini menjelaskan bahawa pihaknya akan memperbaharui reka bentuk baju rasmi dengan menonjolkan motif Harimau yang lebih jelas serta mengembalikan warna asal logo MOM dan Jalur Gemilang.
Langkah itu diambil untuk memastikan baju rasmi yang baharu tidak hanya memenuhi harapan rakyat Malaysia tetapi juga mencerminkan dengan tepat identiti negara dalam acara-acara sukan berprestij seperti Sukan Olimpik.
Difahamkan, corak, reka bentuk serta motif pakaian dikeluarkan pada setiap kitaran baharu penajaan MOM kebiasaannya bermula dari Sukan SEA dan berakhir di Sukan Olimpik seperti rekaan baju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dipakai sehingga Olimpik Tokyo 2020.
Manakala reka bentuk untuk pakaian rasmi kontinjen Malaysia akan melalui kitaran baharu bermula Sukan SEA Thailand 2025 hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Bagaimanapun, selepas pelbagai reaksi yang diterima sejak beberapa hari lalu, Norza berkata, MOM dan Yonex akan bekerjasama untuk menambahbaik reka bentuk yang dapat memenuhi jangkaan semua pemegang taruh serta penyokong.
Dalam pada itu, Norza juga menekankan sebagai badan yang menguruskan pendaftaran dan penyertaan atlet, jurulatih serta pegawai di semua temasya pelbagai sukan, MOM mengambil sepenuh tanggungjawab atas kekeliruan yang berlaku. – KOSMO! ONLINE