fbpx

KKM laksana projek peta landskap penjagaan kesihatan dua dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan sebuah projek bagi memetakan landskap penjagaan kesihatan Malaysia untuk tempoh dua dekad akan datang.

KKM dalam kenyataan berkata, kolaborasi bersama Kumpulan Bank Dunia, Kajian ‘National Health Demand and Supply’ Fasa 1 telah dilancarkan menumpukan analisis komprehensif situasi penjagaan kesihatan di seluruh negara, merangkumi aspek fasiliti kesihatan, peralatan dan sumber manusia.

Katanya, projek ini bertujuan mengatasi ketidakseimbangan pengagihan sumber penjagaan kesihatan negara, merangkumi hospital dan klinik sehingga perkhidmatan berkepakaran serta peralatan berteknologi tinggi.

“Dengan menetapkan standard kebangsaan untuk aset kesihatan yang penting, KKM sedang berusaha untuk menambah baik sistem kesihatan yang lebih seimbang, mampan dan cekap.

“Kajian ini akan meramalkan keperluan kesihatan negara sehingga tahun 2045, bagi memastikan Malaysia bersedia untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang.

“Perancangan jangka panjang ini amatlah penting dalam peralihan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya hari ini.

KKM menambah, bagi merealisasikan aspirasi itu, pihaknya menyeru sektor kesihatan awam dan swasta untuk menyertai sebuah kaji selidik dalam talian bagi menggubal dasar yang strategik dalam mengoptimumkan pengagihan sumber serta mengukuhkan kerjasama awam-swasta.

“Data yang diperoleh daripada kaji selidik ini adalah tertakluk kepada kerahsiaan data dan eksklusif bagi kajian ini, serta tidak akan dikongsikan dengan pihak dari luar pasukan kajian.

“Penyertaan dalam kajian ini akan membolehkan suara sektor swasta lebih didengari dalam membentuk masa hadapan dasar kesihatan negara.

“KKM menyeru semua fasiliti kesihatan swasta untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik dalam talian sebelum 15 Julai ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI