KEGAGALAN melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi salah satu sebab perenang berpengalaman negara, Phee Jinq En mengambil keputusan beraksi pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia.
Keputusannya menyertai temasya sukan universiti rantau Asia Tenggara itu berbaloi apabila menyumbang pingat emas buat kontinjen negara dalam acara 50 meter (m) kuak dada wanita kelmarin.
Jinq En berkata, kehadirannya adalah bagi merampas semula pingat emas acara tersebut selepas kali terakhir dimenangi atlet Malaysia menerusi Erika Kong pada edisi Singapura 2016.
“Boleh dikatakan itu (rampas emas) adalah salah satu sebab saya datang ke sini tetapi faktor utama kerana saya tidak dapat ke Olimpik Paris. Sudah tidak ada sebarang kejohanan untuk saya musim ini.
“Sudah tentu gembira menang kerana ia merupakan salah satu acara kegemaran. Sebelum ini saya tidak datang ke AUG kerana banyak kejohanan bertindih seperti Sukan Komanwel dan Sukan SEA,” kata atlet berusia 27 tahun itu.
Pelajar Universiti Taylor itu akan meneruskan saingan AUG menerusi acara 200m kuak dada wanita hari ini dan dijangka mampu menyumbang satu lagi pingat emas.
Bagaimanapun, Jinq En tidak sempat untuk beraksi dalam acara kegemarannya, 100m kuak dada wanita esok apabila terpaksa pulang ke tanah air bagi menghadiri majlis graduasi pada Ahad nanti.
“Saya akan beraksi dalam satu lagi acara iaitu 200m kuak dada pada Jumaat (hari ini) tetapi saya terpaksa melupakan 100m kuak dada, Sabtu nanti (esok) kerana perlu balik ke Malaysia untuk majlis graduasi.
“Itu adalah acara kegemaran saya dan memang nak sangat menang emas dalam acara tersebut, namun ia tidak ditakdirkan untuk saya,” ujar pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu.