fbpx

Jurnal Bacaan Propulih dimanfaat 5,000 murid pemulihan menengah rendah di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairuddin (tiga dari kiri) ketika menghadiri majlis peluncuran Jurnal Propulih Menengah Rendah dan Modul Key To Excellence STPM 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam.

IPOH – Pemerkasaan pendidikan di negeri ini terus diperkukuhkan menerusi peluncuran Jurnal Bacaan Propulih Menengah Rendah dan Modul Key To Excellence STPM 2024 oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak bersama rakan strategiknya Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairuddin Abu Hanipah berkata, inisiatif penghasilan modul melalui Sektor Pembelajaran itu adalah untuk membantu meningkatkan penguasaan kemahiran dengar tutur, membaca dan menulis murid sekolah menengah di seluruh negeri.

“Inisiatif ini turut membantu murid yang telah tertinggal di dalam pembelajaran agar tidak tercicir dan diabaikan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM).

“Modul ini telah dibangunkan oleh pegawai Sektor Pembelajaran, pegawai SISC+ Bahasa dan Penolong PPD Pemulihan Khas serta guru Bahasa Melayu yang cemerlang,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis peluncuran modul itu di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Beliau berkata, modul itu akan dilaksanakan oleh guru-guru Bahasa Melayu di dalam kelas sekali gus memberi manfaat kepada 5,000 murid daripada kumpulan pemulihan menengah rendah yang melibatkan komitmen kewangan sebanyak RM55,000.

Katanya, iltizam dalam memperkasakan pendidikan anak Perak terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Perak dengan menyediakan peluang sama rata kepada semua murid termasuk murid pemulihan dan peralihan di sekolah menengah sekali gus menyuntik semangat mereka untuk terus berjaya.

“Usaha ini dilihat dapat membantu meningkatkan kemampuan murid-murid peralihan dalam penguasaan kemahiran berbahasa serta mampu menyediakan diri mereka untuk sekurang-kurangnya layak mendapat sijil di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

“Dalam masa yang sama, usaha bagi meningkatkan kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut giat dijalankan dengan terhasilnya Modul Key To Excellence iaitu modul bagi 18 mata pelajaran STPM yang akan membantu meningkatkan kualiti pembelajaran murid.

“Modul ini dapat membantu menyediakan bahan yang lebih berstruktur dan bersistematik sekaligus memberi manfaat terutama kepada 3,803 murid STPM di Perak ke arah keputusan peperiksaan yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI