MELAKA – Klip video sepasang unta terlepas di jalan raya di Tangga Batu dekat sini yang tular di media sosial TikTok sejak pagi tadi merupakan kejadian dua tahun lalu.
Pemilik unta berkenaan, Bakri Ali, 60 berkata, dia terkejut apabila dihubungi ramai kenalan memberitahu unta peliharaannya digelar Bashar dan Bashir telah terlepas.
Jelasnya, kejadian tersebut sebaliknya merupakan insiden yang berlaku pada dua tahun lalu apabila unta tersebut terlepas ketika ditambat di sebatang pokok di rumahnya di Sungai Udang.
“Saya pun terkejut apabila ramai kawan-kawan hubungi sejak pagi tadi beritahu unta saya terlepas tetapi bila saya periksa kedua-dua ada di belakang rumah.
“Memang betul dalam klip video itu Bashar dan Bashir tetapi itu kejadian dua tahun lalu. Saya tak pasti apa niat mereka yang menularkan semula video tersebut, saya pula kena menjelaskan dekat ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya lagi, insiden lama itu berlaku selepas pokok di mana kedua-dua haiwan itu ditambat telah tumbang, menyebabkannya terlepas ke jalan raya.
“Ia lari sampai ke sebuah stesen minyak berhampiran dan berhenti untuk meragut rumput. Saya dan anak kemudian terus ambil dan bawa pulang kedua-duanya.
“Sehingga ke hari ni mereka masih sihat, saya ada bawa ke sekitar pantai Tanjung Kling dan Pantai Puteri untuk aktiviti pelancongan di sana,” ujarnya.
Katanya lagi, Bashar serta Bashir adalah pasangan unta jantan dan betina berusia 13 tahun yang telah dibeli dari Australia sejak 2008. – KOSMO! ONLINE