fbpx

Hadiah wang kemenangan buat ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIR (kiri) ceria bersama ibunya selepas memenangi pingat emas AUG 2024 kelmarin. - AUG/IPT

TIDAK dinafikan, doa ibu sangat berkat dan sentiasa mengiringi kejayaan anak-anak dalam setiap bidang yang mereka ceburi, tidak kira sama ada menerusi cabang akademik mahupun sukan.

Itulah yang berlaku kepada atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed ketika dia memenangi pingat emas dalam kategori bawah 81 kilogram (-81kg) sambil disaksikan ibunya, Yeoh Suat Khim pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia semalam.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mudah mengenepikan cabaran atlet tuan rumah, Yuta Gladius Taslim menerusi keputusan ippon, sekali gus bakal menerima insentif RM3,000.

Kata Amir, dia mahu memberikan sebahagian wang insentif bakal diterima nanti kepada ibunya sebagai tanda terima kasih kerana sudah banyak berkorban demi kariernya termasuk sentiasa hadir dalam setiap kejohanan disertai.

“Apabila dapat duit itu nanti, saya mahu beri kepada ibu sebagai duit poket kerana beliau sudah banyak bantu saya. Selain itu, saya juga mahu belanja jurulatih untuk menggembirakan mereka.

“Duit selebihnya saya akan gunakan untuk pembelajaran kerana bahan-bahan akademik sekarang tidak murah. Oleh itu, RM3,000 yang diterima nanti sangat membantu saya,” kata penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Mengulas aksi final di Pusat Konvensyen Airlangga kelmarin, atlet berusia 20 tahun itu mengakui, dia sudah menjangkakan untuk memenangi pingat emas biarpun gagal menampilkan aksi diharapkan di sebelah pagi.

Sementara itu, ibunya, Suat Khim mengakui, beliau sentiasa berada dalam keadaan berdebar-debar setiap kali menyaksikan Amir melangkah masuk ke dalam gelanggang untuk bertarung dengan lawannya.

“Jantung rasa macam nak keluar tetapi tidak ada rasa sedih atau apa pun, cuma teruja kerana boleh buat kesilapan dalam setiap pergerakan. Apabila dia beraksi, saya hanya mahu tengok dia tampilkan aksi terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI