GELSENKIRCHEN – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo kelihatan berang selepas didakwa tidak berpuas hati dengan keputusan pengendalinya, Roberto Martinez mengeluarkannya pada awal separuh masa kedua ketika tewas 0-2 kepada Georgia awal pagi semalam.
Ronaldo dikeluarkan pada minit ke-66 dan digantikan oleh Goncalo Ramos, namun kapten Al-Nassr itu kelihatan berang dengan keputusan Martinez apabila dia dilihat menyepak rumput Ketika berjalan ke arah bangku simpanan.
Tindakan itu menyebabkan Ronaldo masih gagal untuk memahat nama sebagai penjaring gol dalam kempen Kejohanan Euro kali ini berbanding edisi 2020 yang menyaksikan dia muncul penjaring terbanyak bersama penyerang Republik Czech, Patrik Schick.
Dalam aksi itu, Martinez merombak sebahagian besar kesebelasan utamanya dengan merehatkan pemain-pemain seperti Bruno Fernandes, Bernardo Silva, Pepe dan Ruben Dias, tetapi kekal menyenaraikan Ronaldo sebagai sandaran utama di bahagian serangan.
Bagaimanapun, pemenang lima Ballon d’Or itu harus menyalahkan diri sendiri kerana mensia-siakan begitu banyak peluang di hadapan gawang Georgia meskipun kekalahan tidak menjejaskan kedudukan Portugal sebagai juara Kumpulan F.
Secara keseluruhan, Portugal memiliki 22 percubaan berbanding tujuh sahaja buat Georgia, namun lawan berjaya menyempurnakan dua gol menerusi jaringan Khvicha Kvaratskhelia dan Georges Mikautadze pada minit kedua serta 57.
Bekas penggempur Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu dikatakan terdesak untuk mencipta satu lagi rekod baharu buat dirinya sebagai penjaring tertua Euro dan pemain paling banyak menjaringkan gol di pentas berprestij Eropah itu.
Kini, Ronaldo terpaksa menunggu lagi untuk mencipta sejarah berkenaan dengan peluang terdekatnya adalah apabila bekas juara Eropah 2016 itu turun menentang Slovenia bagi aksi pusingan 16 terbaik di Frankfurt Arena pada 2 Julai ini. – AGENSI