SCHALKE – Pasukan Georgia mengakui teruja dapat meneruskan ‘kisah dongeng’ apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik saingan Euro buat kali pertama dalam sejarah dengan menewaskan Portugal 2-0 pada aksi awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, Georgia yang berada di ranking ke-74 dunia mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk melakar kejutan ke atas skuad Selecao yang menduduki tangga ke-6 dunia.
Dua gol jaringan bintang utama pasukan, Khvicha Kvaratskhelia dan Georges Mikautadze menyaksikan Georgia lolos ke peringkat kalah mati selaku empat negara terbaik di posisi No. 3 kumpulan.
Pengendali Georgia, Willy Sagnol mengakui sukar untuk percaya dengan apa yang berlaku tetapi memuji impak yang dipamerkan oleh semua pemain selepas mencurahkan segala tenaga di atas padang.
“Kami hanyalah pasukan yang kecil tetapi berjiwa besar. Saya pernah kata sebelum mengharungi kejohanan ini bahawa apa sahaja keputusan, kita akan berusaha berikan yang terbaik dan menikmati setiap perlawanan.
“Saya pasti keputusan yang kita raih ketika ini akan membuatkan rakyat Georgia bangga dengan pencapaian bola sepak kebangsaan kerana inilah yang terbaik boleh pemain berikan.
“Namun, saya mahu pemain kekalkan momentum yang sama dengan beraksi tanpa sebarang tekanan seperti yang telah dipamerkan ketika bertemu Portugal, Republik Czech dan Turkiye sebelum ini,” katanya.
Georgia berdepan tugas sukar untuk melakar kejutan apabila diundi bertemu juara tiga kali, Sepanyol di pusingan kalah mati nanti. – AGENSI