fbpx

‘Curi durian sebab tersilap sempadan tanah bapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasmuner (depan) dan Azlan (belakang) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini. Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI/KOSMO!

BALIK PULAU – Dua sahabat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan pindaan mencuri 17 biji durian campur-campur bernilai RM4,000 milik seorang pemilik dusun, Selasa lalu.

Tertuduh pertama, Hasmuner Ismail, 40, dan kedua, Azlan Abdul Hamid, 42, membuat pengakuan tersebut sejurus faham pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-dua mereka yang bekerja sebagai mekanik didakwa telah mencapai niat bersama untuk mencuri 17 biji durian di dalam dua guni milik Lee Yiew Choo, 43, di sebuah dusun di Titi Teras, kira-kira pukul 6.48 petang, 25 Jun lalu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau kemudiannya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Dzulkarnain.

Ketika prosiding, Lushani memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang setimpal sebagai pengajaran terhadap perbuatan yang dilakukan tertuduh.

Bagaimanapun, Nur Najihah merayu agar hukuman denda itu dikurangkan berikutan kedua-duanya masih menanggung ibu dengan masing-masing memperoleh pendapatan RM800 dan RM1,000 sebulan.

Terdahulu, Hasmuner yang masih bujang dalam rayuannya mengaku kesilapan tersebut dan mengatakan kejadian berlaku disebabkan tersilap sempadan tanah milik bapanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dan sebulan penjara jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Kosmo! Difahamkan, kedua-dua mereka telahpun membayar denda sebaik pertuduhan ke atas mereka selesai dijalankan pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI