SURABAYA – Perenang negara, Bryan Leong meraih emas kedua peribadi pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 selepas memenangi acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki hari ini.
Pada aksi final yang berlangsung di Kolam Renang KONI Jawa Timur Universitas Airlangga sebentar tadi, atlet berusia 21 tahun itu melakukan catatan masa 54.22 saat (s).
Sementara itu, pingat perak menjadi milik perenang Singapura, Ong Jung Yi yang mencatat 54.93s manakala atlet Indonesia, Joe Aditya Wijaya Kurniawan meraih gangsa dengan 55.16s.
“Sejujurnya kondisi saya tidak berada pada tahap terbaik hari ini, malah ketika ini pun saya masih lagi demam,” katanya kepada pemberita selepas tamat aksi final.
Sementara itu, Hii Puong Wei yang beraksi dalam acara 200m kuak dada lelaki turut menyumbang emas buat kontinjen Malaysia apabila menamatkan saingan menerusi catatan masa 2:20.08s.
Olimpian negara, Phee Jinq En yang memenangi emas dalam acara 50m kuak dada wanita Rabu lalu bagaimanapun sekadar berpuas hati dengan pingat perak menerusi acara 200m kuak dada wanita. – KOSMO! ONLINE