GUA MUSANG – Seorang bayi perempuan Orang Asli yang mengalami sesak nafas dan batuk berdarah dari Kampung Cegrok, Pos Belatim di sini dibawa menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.
Mastiyara Sahary yang berusia setahun 10 bulan yang turut mengalami demam panas diiringi ibu dan bapanya semasa menaiki pesawat.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Akmaluddin Said berkata, pesakit bersama pengiring dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland 139 (AW139).
Katanya, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara Bertam, Pulau Pinang kira-kira pukul 1.23 tengah hari dan tiba di Kampung Cegrok pada pukul 2.10 petang.
“Selepas mengambil pesakit bersama pengiring, helikopter tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 2.37 petang.
“Pesakit diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan l untuk dibawa ke Hospital Gua Musang menggunakan ambulans,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Muhammad Akmaluddin memberitahu, operasi berkenaan diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Zukhairee Zabidi dan dibantu pembantu juruterbang, Muhammad Fisol Rosli bersama tiga lagi anggota. – KOSMO! ONLINE