fbpx

Bank Rakyat lulus RM3.8 juta pembiayaan BRIEF-i

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan (kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi agensinya, Bank Rakyat meluluskan 43 permohonan program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) bernilai RM3.8 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, setakat 27 Jun 2024, BRIEF-i merekodkan melebihi 1,000 pertanyaan daripada usahawan di seluruh negara.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 135 permohonan sedang diproses melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.7 juta.

‘Bank Rakyat juga telah meluluskan 43 permohonan yang berjumlah RM3.8 juta dengan sasaran jumlah kelulusan sebanyak RM4 juta,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i di sini hari ini.

Ramanan berkata, melalui program pembiayaan seperti BRIEF-i, kerajaan dapat memastikan lebih ramai usahawan India mampu mengakses dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka sekali gus memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat tersebut.

Ujar beliau, BRIEF-i menawarkan pembiayaan patuh Syariah dengan kadar keuntungan yang kompetitif dan syarat yang fleksibel, maka ia satu langkah progresif yang akan memberikan manfaat besar kepada usahawan India.

Tambah beliau, program BRIEF-i adalah contoh terbaik bagi menyokong keusahawanan dalam kalangan komuniti minoriti selaras dengan aspirasi negara.

“Ia juga selaras dengan mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan tiada siapa ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, Bank Rakyat berharap BRIEF-i dapat membantu usahawan untuk berinovatif selain dapat mengakses dan meneroka peluangperniagaan era digital.

Kata beliau, Bank Rakyat seterusnya berharap program itu membantu memacu pemecutan pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan ke arah pembangunan sosioekonomi negara yang lebih progresif dan inklusif.

“Bank Rakyat memperuntukkan RM50 juta menerusi BRIEF-i khusus untuk komuniti usahawan India yang menjalankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi penyediaan modal kerja dan perbelanjaan modal untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI