GOMBAK – Derita seorang pembantu rumah yang sering diseksa oleh majikan serta tidak dibayar gaji sejak enam bulan berkhidmat akhirnya diselamatkan polis dalam operasi di sebuah kediaman di Selayang, di sini, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan membabitkan sebuah rumah semi D dua tingkat iaitu tempat mangsa bekerja.
Jelas beliau, operasi dijalankan kira-kira pukul 6.15 petang hasil maklumat diterima pihaknya.
“Op Pintas ini bertindak menahan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun merupakan majikan mangsa.
“Suspek yang juga bekerja sebagai akauntan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007.
“Dalam pada itu, seorang mangsa seorang wanita warga Indonesia berusia 24 tahun telah diselamatkan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja sekitar enam bulan lalu dan dipercayai didera oleh majikannya itu dengan cara memukul menggunakan rotan dan menampar.
Jelas Soffian, terdapat lebam yang baru dipercayai kesan dera oleh majikan antaranya di bahagian tangan kiri dan pipi sebelah kiri.
“Mangsa yang dikatakan dijanjikan gaji RM1,400 sebulan juga mendakwa tidak pernah menerima sebarang duit gaji selama bekerja dengan suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE