fbpx

4,612 unit kuarters PDRM sudah dibaiki, babit kos RM112.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,612 unit rumah kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dibaik pulih membabitkan dana keseluruhan bernilai RM 112.6 juta menerusi 465 projek, tahun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kerja naik taraf dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) turut meliputi pembaikan saluran paip, pendawaian dan meluaskan unit rumah bagi keselesaan penghuni kuarters.

Katanya, langkah tersebut menjadi bukti bahawa pengorbanan setiap warga PDRM dihargai serta kebajikan anggota dititik beratkan.

“Sebanyak 286 kuarters dua bilik berkenaan diubah suai kepada 143 unit kuarters berkeluasan 1,200 kaki persegi yang mempunyai tiga ke empat bilik.

“Pengubahsuaian yang menjadikan dua unit rumah sebagai satu diharap dapat memberikan keselesaan kepada penghuni kuarters berkenaan dengan ruang yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Jun 2024.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, peruntukan turut disalurkan bagi menambah baik infrastruktur balai-balai, pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai sebahagian permulaan kepada kerangka pembangunan di bawah Malaysia Madani.

“Komitmen ini diteruskan dengan pengukuhan peruntukan pada tahun ini berjumlah RM11.656 bilion, pertambahan sebanyak RM661.59 juta iaitu peningkatan 6.02 peratus berbanding peruntukan tahun 2023.

“Sebanyak 12 projek di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.35 bilion adalah jumlah projek paling banyak diluluskan,” katanya.

Menurut beliau, peruntukan berkenaan membabitkan projek pembinaan di ibu pejabat polis (IPD), balai, kuarters perumahan, dan lain-lain fasiliti.

“Justeru, saya menggesa setiap warga pasukan agar sentiasa mensyukuri nikmat kemudahan dan fasiliti yang disediakan.

“Tingkatkan penerapan dan amalan budaya disiplin yang mementingkan kebersihan serta memelihara setiap kemudahan dan fasiliti yang disediakan untuk kesejahteraan bersama,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI