KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin akan sedaya upaya berusaha memenuhi permintaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terutama menambah kuota kad akreditasi.
Ia selepas Zii Jia meluahkan hasratnya kepada Hamidin pada sesi pertemuan kelmarin untuk membawa rakan sepelatih dan pegawai fisioterapinya di temasya sukan berprestij dunia itu.
“Buat masa ini, Zii Jia menegaskan nak dua lagi kad akreditasi untuk pasukannya. Kita akan usahakan untuk penuhi hasrat Zii Jia supaya dia dalam keadaan tenang bila bermain nanti.
“Kita difahamkan, ahli pasukannya yang lain akan tinggal di luar perkampungan sukan, tetapi kita juga ada pilihan lain seperti pas harian dan paling tidak kami akan sediakan kenderaan untuk beliau keluar buat sesi pemulihan pada masa tertentu,” kata Hamidin.
Pada sesi pertemuan berkenaan, Hamidin turut mengakui Zii Jia bersedia untuk melakukan kejutan pada penampilan keduanya di Sukan Olimpik.
“Secara keseluruhannya dia mempunyai keinginan untuk buat kejutan walaupun dia tahu ketika ini berada di ranking ketujuh.
“Tetapi dia katakan undian itu sangat penting dan suka atau tidak dia akan berdepan juga pemain handalan dari China.
“Jadi saya katakan kepada Zii Jia yang penting ketika ini adalah melepasi peringkat suku akhir terlebih dahulu sebabnya apa saja boleh berlaku.
“Zii Jia mempunyai impian yang tinggi dan ketika ini pun dia berada dalam keadaan terbaik tapi saya nasihatkan dia untuk ambil satu demi satu perlawanan,” jelas Hamidin.