fbpx

Ustaz Don ada 14 hari jawab JAIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Pendakwah selebriti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid diberikan tempoh selama 14 hari untuk memberikan ­kenyataan bertulis berhubung fakta ceramah agama yang dibuatnya sebelum ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kenyataan tersebut adalah selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Menurut Mohd. Shahzihan, langkah tersebut dilakukan agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap penceramah tersebut.

“Ustaz Don ada masa (tempoh) 14 hari untuk jawab (berkaitan fakta ceramah ­agamanya),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, ketika di­tanya sama ada satu pertemuan akan dibuat JAIS dengan Ustaz Don Daniyal, beliau menyerahkan kepada Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menentukannya.

MOHD. SHAHZIHAN

Kosmo! semalam melaporkan, Ustaz Don Daniyal disiasat mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu.

Ini berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS.

Untuk rekod, seksyen itu menyatakan orang yang me­ngajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak atau mana-mana fatwa yang sedang berkuat kuasa di Selangor.

Terdahulu, tular di Whats­App mengenai notis dikeluarkan (JAIS) bertarikh 21 Jun lalu berhubung penangguhan program ceramah dan kuliah agama Ustaz Don Daniyal di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Selangor.

Penangguhan membabitkan semua program yang telahpun mendapat persetujuan awal untuk dilaksanakan dan termasuk sebarang program yang sedang di peringkat perancangan.

Sebelum ini, Ustaz Don, 40, ditamatkan khidmatnya oleh RTM sebagai pengacara program Salam Baitullah.

Pendakwah selebriti itu turut memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan di sebuah stesen radio berhubung ibadah berpuasa pada hari tasyrik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI