fbpx

UKKM taja tiga pelajar Palestin peringkat ijazah sarjana, PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon ( dua dari kanan) menyerahkan Surat Tawaran Pelajar Palestin kepada Kaunselor Pertama Kedutaan Palestin di Malaysia Mohammed Abudagga Kaunselor Pertama Kedutaan Palestin di Malaysia. Foto M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

PETALING JAYA – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menaja pelajar dari Palestin untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, UKKM menawarkan pengajian itu kepada tiga pelajar dari Palestin dengan kos penajaan RM70,000 seorang.

“Pelajar dari Palestin itu juga merupakan pengambilan pertama pelajar antarabangsa di UKKM.

“Pengambilan pelajar ini adalah susulan perbincangan saya dengan ketua delegasi kerajaan Palestin dalam Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Sedunia yang berlangsung di Jordan pada April lalu.

“Pada persidangan tersebut saya telah menyatakan kewujudan, aspirasi serta program pengajian di UKKM dan Palestin merupakan negara pertama yang mengadakan perbincangan dengan delegasi dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang akhbar Majlis Pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor UKKM di World Trade Centre, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ewon yang dilantik sebagai Canselor UKKM pertama berkata, universiti itu turut terlibat dalam projek rintis Program Menoktahkan Kemiskinan di Sabah dan Sarawak yang melibatkan program Siswazah dan Pascasiswazah bermula Julai tahun ini.

“UKKM juga menyediakan Program PhD dan Programe for Executive (P4E) yang akan bermula Julai ini.

“Sebagai sebuah universiti yang khusus dalam bidang keusahawanan dan koperasi, UKKM mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Terdahulu, UKKM melantik Datuk Suriani Ahmad dan Tan Sri Datuk Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai Pro-Canselor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI