JOHOR BAHRU – Tiga rakan yang terlibat dengan kegiatan sindiket jenayah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan, masing-masing kerana memiliki senjata api dan pisau kira-kira dua minggu lalu.
Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh, Soh Wee Hong, 29; Hoo Kim Wei, 26, dan wanita warganegara Thailand, Miss Laor Mikarat, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk revolver di sebuah rumah beralamat di Jalan Alimat, Wadi Hana, di sini pada pukul 3.45 petang, 14 Jun lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sekiranya bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, ketiga-tiga mereka sekali lagi didakwa secara bersama-sama memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran sah.
Wee Hong dan Kim Wei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dibacakan di hadapan Hakim, Rasidah Roslee, bagaimanapun pengakuan Miss Laor ditangguh sementara menunggu penterjemah bahasa Thai.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka memiliki sebilah pisau keluli tahan karat sepanjang 25 sentimeter yang tertera tulisan Cina di lokasi dan waktu yang sama.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun. – KOSMO! ONLINE