MARAN – “Arwah sempat membuat panggilan telefon bertanya khabar kesihatan saya dan ibunya sebelum meneruskan perjalanan,” kata Mohd. Ramli Putih,70, yang merupakan bapa kepada Allahyarham Mohd. Ariffudin yang meninggal dunia ekoran kemalangan berhampiran Simpang Runchang Jalan Kuantan-Segamat, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu mangsa maut selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 77 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan.
Mohd Ramly berkata, semasa membuat panggilan telefon, Allahyarham turut meminta mendoakan perjalanannya selamat dan berjanji akan pulang tidak lama lagi.
“Saya amat terkejut dan terduduk mendengar berita kemalangan itu daripada pihak polis kerana baru berbual-bual dengan arwah sebelah pagi sebelum dia bertolak ke Melaka.
“Ibunya yang tidak sihat juga hilang kata-kata dan menangis selepas mendengar berita itu namun reda dengan suratan takdir kehilangan anak kesayangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rantau Perintis di sini hari ini.
Menurutnya semasa kejadian Allahyarham yang bekerja sebagai Polis Bantuan Petronas memaklumkan perlu segera balik ke Melaka dari Kemaman kerana mula bertugas pada pukul 4.00 petang.
Katanya, Allahyarham tinggal di Taman Perwaja Kemaman, Terengganu bersama isteri Azida Othman,33, yang berniaga makanan dan dua orang anak yang masih kecil.
Bagi ibunya Zawiah Mohamad, 60, Allahyarham Mohd Ariffudin merupakan seorang anak yang ringan tangan dan suka menolong orang serta begitu ceria ketika bersama ahli keluarga seperti pada hari raya Aidiladha baru-baru ini.
“Pertemuan terakhir pada hari raya Aidiladha baru-baru ini meninggalkan kenangan kerana arwah sangat ceria dan pandai bergurau.
“Kesibukan bekerja dan sering berulang alik dari Kemaman ke Melaka menyebabkan dia sering berbual melalui telefon sebagai penghubung rindu,”ujarnya. – KOSMO! ONLIE