KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 dibentangkan di Parlimen hari ini bagi memperkasakan lagi peranan institusi Ketua Audit Negara selaras dengan usaha Kerajaan Madani.
Jabatan Audit Negara dalam kenyataannya memaklumkan, RUU yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu untuk menambah baik tatakelola negara dan akauntabiliti sektor awam.
Katanya, Akta Audit 1957 (Akta 62) yang sedang berkuat kuasa ketika ini tidak pernah dipinda sejak 33 tahun yang lalu atau kali terakhir pindaan dibuat pada 1991.
“Pindaan Akta 62 melibatkan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada beberapa peruntukan sedia ada seperti pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan.
“Selain itu, pengauditan melalui pendekatan ‘follow the public money audit’, tertakluk kepada Kementerian Kewangan (MOF) atas dasar kepentingan awam.
“Kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang melibatkan pengauditan dan pelaksanaan audit susulan terhadap apa-apa syor, pemerhatian atau pandangan yang diberikan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN),” katanya.
Tambah kenyataan itu, melalui pindaan tersebut, diharapkan dapat menambah baik dan memperkukuh tatakelola serta membolehkan pengawasan dana awam dijalankan dengan lebih efektif bagi mengelakkan ketirisan wang awam yang merugikan kerajaan.
RUU itu dijadual dibahaskan pada sesi persidangan petang ini. – KOSMO! ONLINE