fbpx

RM6.98 bilion pengeluaran dibuat dari Akaun Fleksibel setakat Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 2.93 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel membabitkan jumlah pengeluaran bernilai RM6.98 bilion, setakat 10 Jun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata purata pengeluaran adalah sebanyak RM2,382, selain RM4.82 bilion juga dipindahkan ke Akaun Persaraan ahli.

Ujarnya, tiada sebarang insentif atau bantuan tambahan diberikan kepada ahli yang memilih untuk memiliki amaun permulaan dengan memindahkan sebahagian simpanan Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

“Inisiatif ini menunjukkan impak positif apabila berjaya menunjukkan peningkatan 39,000 ahli mencapai simpanan asas iaitu RM240,000,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).

Katanya lagi seramai 3.45 juta ahli memilih untuk memiliki amaun permulaan di Akaun Fleksibel membabitkan jumlah perpindahan RM10.86 bilion daripada Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali Akaun 2.

Jelasnya, tujuan utama Penstrukturan Semula Akaun KWSP dibuat bagi memastikan kesejahteraan kewangan semasa persaraan lebih mapan, selain mengimbangi keperluan semasa ahli.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka memiliki pendapatan persaraan mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan kelak,” katanya bagi menjawab soalan mengenai pemindahan caruman ke Akaun Fleksibel serta strategi pelaburan jangka panjang dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan).

Mengenai strategi jangka panjang, Amir Hamzah berkata, bagi memastikan KWSP boleh mencapai objektif pelaburan itu, pelaburan dibuat berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).

Beliau berkata, strategi itu memperuntukkan aset secara optimal dengan mengambil kira had toleransi risiko KWSP sebagai dana simpanan persaraan.

Berdasarkan SAA semasa, katanya, KWSP memperuntukkan baki tunai pelaburan pada julat dua hingga enam peratus.

“SAA ini dikaji semula secara berkala bagi memastikan jangkaan pulangan dan risiko adalah relevan dengan keadaan pasaran modal semasa serta sebarang perubahan polisi, regulatori, perakaunan dan profil aset-liabiliti KWSP.

“Antara pertimbangan akan dikaji adalah profil kecairan portfolio pelaburan serta peruntukan kepada baki tunai bagi mengambil kira impak daripada penstrukturan semula akaun KWSP,” katanya.

Mengulas usaha mengekalkan kestabilan simpanan persaraan ahli, beliau berkata, Akaun Persaraan diperkasa untuk membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli.

Beliau berkata, kadar nisbah pengkreditan caruman ahli adalah 75 peratus dikreditkan ke Akaun Persaraan, diikuti Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus), mulai 11 Mei lalu.

Menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), beliau berkata, penstrukturan semula akaun KWSP dilihat tidak memberi kesan signifikan kepada kedudukan kewangan kerana badan itu memperuntukkan baki tunai mencukupi bagi menampung permintaan pengeluaran Akaun Fleksibel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI