fbpx

Remaja tular bakar anak kucing mohon maaf, bon berkelakuan baik setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh yang merupakan pesalah juvana keluar dari Mahkamah Majistret hari ini.

KAJANG – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang tular membakar seekor anak kucing hidup-hidup diperintah bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap haiwan tersebut.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz memerintahkan demikian terhadap tertuduh yang pesalah juvana itu selepas meneliti laporan akhlak yang dikemukakan Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM).

Selain bon berkelakuan baik mahkamah turut memerintahkan tertuduh wajib menjalani Bengkel Interaktif yang dianjurkan JKM dalam tempoh setahun dan sekatan keluar rumah bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi.

Peguam Lee Teong Hooi yang mewakili tertuduh ketika ditemui selepas prosiding berkata, semasa rayuan tertuduh mengakui kesalahannya selain menyatakan hasrat ingin membela kucing.

“Tertuduh mohon maaf kepada mahkamah, berjanji tidak akan buat lagi dan dia turut mengatakan ingin membela kucing bagi menebus kesalahan yang telah dilakukan,” kata peguam itu.

Tambah peguam itu, pada masa sama dua Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak yang hadir turut menasihati tertuduh supaya menjadi anak yang lebih baik dan tidak terpengaruh dengan kawan-kawan dengan perbuatan yang tidak baik.

Mengikut pertuduhan, remaja itu bersama-sama dengan dua lagi yang masih bebas didakwa secara kejamnya menyebabkan kesakitan terhadap seekor kucing dengan membakar kucing tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta di sebuah blok, Pangsapuri Taman Sri Kenari di sini pukul 1.08 tengahari pada 22 April lalu.

Justeru pertuduhan pendakwaan dikemukakan mengikut perenggan 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis mengesan tiga lelaki yang membakar seekor anak kucing hidup-hidup di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Sungai Ramal Baru di sini minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI