fbpx

Rampas 937 botol air zam-zam tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norlela (tengah) menunjukkan botol air zam-zam dirampas pihaknya daripada sebuah gudang di Shah Alam. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Kelicikan penjualan air zam-zam dipercayai tiruan di sekitar Lembah Klang berjaya dipatahkan menerusi serbuan di sebuah gudang di Shah Alam dekat sini, baru-baru ini.

Dalam serbuan pada 21 Mei lalu tersebut, berjaya merampas 4,685 liter atau 937 botol air zam-zam yang tidak diketahui kesahihan importnya.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, semasa pemeriksaan terdapat seorang lelaki yang merupakan wakil pengurus gudang berusia 44 tahun.

Katanya, bagaimanapun lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang permit import terhadap air zam-zam berkenaan.

“Kesahihan air zam-zam tersebut juga gagal dibuktikan apabila tidak mempunyai dokumen daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Siasatan mendapati ia merupakan gudang persendirian yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan botol-botol berisi air minuman tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan turut mendapati setiap botol bersaiz lima liter dijual pada harga RM120.

Ujar Norlela, nilai keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM117,200 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau menegaskan 670,000 batang rokok bernilai RM505,000 berjaya dirampas pada 13 dan 20 Jun lalu.

Kesemua rokok itu diperoleh hasil serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Utara dan premis tidak berpenghuni di Seri Kembangan.

“Kesalahan bagi rokok disiasat dibawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991 dan 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI