fbpx

PRK Nenggiri boleh diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azizi hadir ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.

Dengan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan Mesyuarat Khas PRK Dun berkenaan yang dijadualkan berjalan esok.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati Mohd. Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan kerana beliau masih boleh menyertai pilihan raya itu.

Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa injunksi sementara itu tidak boleh diberikan bagi menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengikut Perlembagaan terutamanya apabila telah dimaklumkan terdapat kekosongan kerusi Dun.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Azizi membayar kos sebanyak RM7,000 kepada setiap responden.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 25 Jun lalu, Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) selaku defendan.

Pada prosiding yang bermula pukul 4.30 petang dan berakhir pukul 7.30 malam itu, Mohd. Azizi diwakili peguam, Datuk Rajan Ravaratnam manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.

Sementara, Chetan ketika ditemui mengesahkan dengan keputusan hari ini, SPR boleh memulakan persiapan menghadapi PRK itu.

Beliau turut memberitahu, permohonan injunksi penuh akan didengar pada 28 Ogos ini.

Menurut afidavit yang difailkan oleh bekas Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang itu, pindaan yang dibuat kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan keahlian seseorang akan dihentikan jika beliau menyokong saingan politik adalah tidak berperlembagaan.

Pada 19 Jun lalu, DUN Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula tarikh itu selepas menerima satu notis bertulis daripada Bersatu pada 13 Jun lalu yang antara lain menyatakan Mohd. Azizi telah hilang keahlian Bersatu seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN terbabit.

Mohd. Azizi dilucutkan keahlian dari Bersatu kerana menyokong kepimpinan Perdana Menteri sekali gus bercanggah dengan sasaran pucuk kepimpinan tertinggi parti.

Berdasarkan saman pemula tersebut, Mohd. Azizi antara lain memohon perisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi ADUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.

Mohd. Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman daripada Mohd Amar kepada SPR bahawa kerusi ADUN Nenggiri kosong, digantung pelaksanaannya.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal, dan pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI