JAKARTA – Sebatang pokok kekabu gergasi hidup subur dan megah di sebuah kawasan perkuburan di Jogjakarta meskipun usianya dipercayai mencecah 700 tahun, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Berdasarkan sebuah video yang dikongsikan di platform TikTok, saiz pokok tersebut amat besar sehingga memerlukan 21 orang dewasa berdiri di kelilingnya sambil mendepakan tangan mereka.
“Pokok kekabu gergasi di Jogjakarta ini sangat besar dan memerlukan 21 orang dewasa untuk mendepakan tangan (di sekelilingnya). Ia berusia kira-kira 700 tahun,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Tambahnya, pohon tersebut dikelilingi oleh berpuluh-puluh kubur, manakala ketinggiannya diibaratkan mampu menaungi seluruh kubur di situ.
Meskipun berusia hampir 1,000 tahun, pokok kekabu itu dikatakan masih kukuh dan tidak mengalami kerosakan.
Menurut laman lindungihutan.com, pokok kekabu adalah tanaman yang berasal dari rantau tropika benua Amerika sebelum dibawa ke Afrika dan Asia.
Selain Indonesia, negara Asia Tenggara yang menjadi habitat tumbuhan itu ialah Filipina, Thailand dan Malaysia. – AGENSI