fbpx

‘Plot twist’ Customs Frontline mudah dijangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Customs Frontline kini sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara.

FILEM aksi Hong Kong jarang mengecewakan. Kehebatan pelakon dan pelakon lagak ngeri dalam menjayakan babak mendebarkan mampu menggoncang adrenalin penonton diperakui ramai sejak dulu lagi.

Begitu juga dengan filem Customs Frontline yang dibintangi pelakon popular Nicholas Tse, Karena Lam, Yase Liu dan Francis Ng.

Lebih menarik, peminat tentu tidak sabar menantikan kemunculan semula aktor lagenda, Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat daripada industri hiburan.

Ditayangkan di Hong Kong pada Mei lalu, Customs Frontline yang bakal menggegarkan pawagam tempatan bermula 5 Julai depan mengisahkan perjuangan pasukan kastam menumpaskan kumpulan penjenayah penyeludupan senjata api.

Naratif turut memberi fokus terhadap kredibiliti dan kepakaran anggota kastam dalam mempertahankan keselamatan masyarakat daripada ancaman penjahat.

Customs Frontline menyaksikan kemunculan semula aktor Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat.

Diarahkan Herman Yau, penceritaan awal Customs Frontline bergerak agak perlahan memandangkan fokusnya tertumpu kepada hubungan cinta Chow Ching-lai dan kekasihnya.

Kemudian penonton secara perlahan-lahan dibawa kepada intipati cerita yang mencetuskan rasa teruja untuk mengetahui kesudahan filem tersebut.

Bagaimanapun, plot ‘twist’ filem yang mendapat pujian saat ditayangkan di Festival Filem Far East ke-26 di Udine, Itali itu mudah dijangka.

Bak kata pepatah lama, dalam setandan pisang tidak semuanya busuk, penonton sudah boleh agak apa yang akan berlaku kepada pasukan kastam di hujung cerita.

Anggota yang menjadi gunting dalam lipatan antara punca aktiviti jenayah kian bermaharajalela dan itulah yang dipaparkan dalam filem ini dan berlaku dalam dunia realiti.

MENGANGKAT kisah anggota kastam cuba mematahkan aktiviti penyeludupan senjata api.

Namun, apa yang wajar dipuji apabila penulis skrip Erica Li dan Eric Lee menyentuh elemen kesihatan mental dalam kalangan anggota kastam.

Meskipun bergelar wira negara, setiap daripada mereka juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada berdepan masalah dan tekanan dalam kehidupan.

Biarpun tidak dapat dilihat secara kasar seperti luka yang berdarah, harus diingat masalah kesihatan mental juga mampu mengorbankan nyawa.

Bahkan, mereka yang mengalaminya akan melalui detik sukar yang secara tidak langsung boleh menjejaskan rutin hidup seharian termasuk hubungan dengan orang sekeliling.

Justeru, jangan pandang enteng permasalahan ini dan itulah antara kesedaran diselitkan dalam Customs Frontline yang boleh dihadam penonton.

Buat penggemar filem aksi, Customs Frontline mungkin mampu memenuhi selera anda. Selamat menonton!

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI