fbpx

Pengguguran BlackRock akan beri kesan negatif kepada negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul ketika menjawab dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR – Pengguguran pelaburan BlackRock dari Malaysia sekiranya berlaku akan mendatangkan implikasi dan kesan negatif kepada usaha untuk merealisasikan agenda pelaburan negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata BlackRock adalah sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini dengan keseluruhan aset sekitar RM27.5 bilion setakat bulan lalu.

Ujarnya, ia membabitkan RM20.5 bilion dalam pasaran saham di Bursa Malaysia dan sekitar RM7.0 bilion dalam Bon kerajaan dan Korporat di Malaysia.

“Berdasarkan semakan, di antara pelaburan BlackRock di dalam pasaran bon terbitan Kerajaan adalah di Malaysia Sukuk Global Berhad, Export-Import Bank of Malaysia Berhad, Malaysia Wakala Sukuk Berhad, Petroliam Nasional Berhad dan Malaysia Sovereign Sukuk Berhad.

“BlackRock turut mempunyai kepentingan pelaburan di dalam Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM8.6 juta, Metal Aluminium sebanyak RM625 juta dan CelcomDigi sebanyak RM526 juta.

“Selain itu BlackRock merupakan pemegang saham bagi beberapa syarikat multinasional besar yang beroperasi di Malaysia termasuk Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta perincian dalam negeri mana dan apakah impak kepada ekonomi negara sekiranya semua pelaburan BlackRock berpuluh-puluh tahun kebelakangan ini digugurkan.

Tambah Tengku Zafrul, syarikat-syarikat seperti Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments yang mempunyai pemilikan saham oleh BlackRock ini menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan yang dijalankan di Malaysia.

“Ini termasuk Intel yang menyumbang kepada pertumbuhan sub-sektor semikonduktor di Pulau Pinang dengan membuat pelaburan sebanyak RM32 bilion dan menggaji lebih daripada 10,000 orang pekerja.

“Selain itu, Texas Instruments dalam industri elektrikal dan elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur telah membuat pelaburan sebanyak RM13 bilion dan menggaji lebih daripada 2,000 orang pekerja manakala ROHM Electronics (Malaysia) di Kelantan membuat pelaburan sebanyak RM3 bilion dan menggaji lebih daripada 2,000 orang pekerja.

“Bagi subsidiari Boeing, iaitu Aerospace Composites Malaysia Sdn. Bhd. (ACM) dalam industri aeroangkasa di Kedah Boeing, melalui subsidiarinya, Aerospace Composites Malaysia Sdn. Bhd. (ACM), telah membuat pelaburan sebanyak RM300 juta dan menggaji 900 orang pekerja,” katanya

Jelas Zafrul, Microsoft yang baru-baru ini mengumumkan pelaburan pula akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur pusat data di lokasi baharu yang akan ditentukan kemudian.

Dalam pada itu, mengulas mengenai nilai-nilai eksport syarikat-syarikat berkenaan, Tengku Zafrul berkata Intel telah menyumbang sebanyak RM50 bilion nilai eksport untuk komponen semikonduktor manakala Texas Instruments telah menyumbang sebanyak RM20 bilion nilai eksport komponen elektronik.

“Microsoft telah menyumbang sebanyak RM15 bilion nilai eksport perkhidmatan teknologi maklumat dan Boeing pula telah menyumbang sebanyak RM10 bilion nilai eksport komponen aeroangkasa,” katanya.

Terdahulu, Blackrock menjadi tumpuan selepas Khazanah Nasional pada 15 Mei lalu mengumumkan ia akan menubuhkan konsortium dengan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP – menerusi GIP Aurea Pte Ltd – untuk membeli saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI