ALOR SETAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bercadang untuk mematenkan durian musang king di peringkat antarabangsa supaya ia diiktiraf dan dikenali sebagai produk pertanian Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu perlu memandangkan musang king sangat popular di luar negara terutama di China.
“Jabatan Pertanian serta Bahagian Antarabangsa (KPKM) akan cuba mencari jalan (mematenkan musang king). Memang kena paten kerana musang king ini dari Malaysia.
“Itu yang kita harapkan sebab musang king ini begitu popular di mana-mana, khasnya di China,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan MADA Day di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, pihaknya bertanggungjawab mengawal kualiti durian yang akan dieksport ke luar negara termasuk menerusi Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).
“Eksport durian sekarang menerusi perniagaan ke perniagaan (B2B), pihak kita mengawal kualiti supaya durian yang dihantar dalam keadaan segar. Sebab durian itu sekarang akan dibawa dengan kapal terbang, ertinya dalam masa tiga atau empat jam sudah sampai China,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Malaysia memperoleh akses pasaran eksport baharu bagi buah durian segar dari Malaysia ke China, sekali gus mengembangkan industri tanaman durian tempatan serta meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.
Pada tahun lalu, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatatkan nilai sebanyak RM1.14 bilion dan secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara yang bernilai RM2.01 bilion. – KOSMO! ONLINE