PETALING JAYA – Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang pada 18 Jun lalu ketika bertugas dalam Op UKUR di Limbang, Sarawak bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) Sarawak masih belum ditemui sehingga hari ini.
Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan berkata, usaha pencarian anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) itu masih giat dijalankan.
“Operasi Search and Rescue (SAR) telah memasuki hari ke-10 dan pencarian masih diteruskan sehingga hari ini dengan menggunakan kaedah Air Search dan Ground Search di sekitar kawasan Ulu Mendalam di Limbang, Sarawak.
“Antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia, helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM dan dipergiatkan lagi dengan bantuan unit Anjing Pengesan K9 dari Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Dalam kenyataan sama, pihak TDM memaklumkan proses pencarian turut dibantu oleh anggota dari Combat Air Rescue TUDM, Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM dan anggota Jupem yang sedang melaksanakan Op UKUR.
“Di sektor Brunei Darussalam, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian.
“Pihak TDM kekal komited dan konsisten dalam operasi ini dan berharap agar orang ramai dapat bersama-sama mendoakan agar anggota berkenaan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.
“Kerjasama masyarakat juga diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu misi pencarian,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE.