BARCELONA – Lando Norris masih menyimpan harapan untuk mencabar Max Verstappen bagi merebut gelaran Formula Satu (F1) tahun ini meskipun tewas kepada pemandu Red Bull itu dalam dua Grand Prix (GP) berturut-turut.
Pemandu McLaren itu menamatkan perlumbaan GP Sepanyol di Litar Barcelona-Catalunya minggu lalu di tempat kedua, hanya ketinggalan dua saat di belakang juara dunia tersebut selepas turut meraih kedudukan sama sewaktu GP Kanada awal bulan ini
“Kami sepatutnya mendapat mata tambahan ke atas Max (Verstappen). Berkemungkinan ada peluang untuk menewaskannya di (GP) Kanada dua minggu lalu, namun dua perlumbaan saya berada di tempat kedua dan dia menang.
“Dia terus menambah mata saat ini, tetapi kami tidak boleh membiarkan dia terlepas begitu sahaja. Jika saya membuat beberapa keputusan yang lebih baik di Kanada dan membuat permulaan yang lebih baik hari ini, kami akan menang dua perlumbaan,” katanya.
Norris ketinggalan 69 mata di belakang Verstappen dan menganggap permulaan buruk pada GP Sepanyol minggu lalu disebabkan kegagalannya menukar kedudukan petak utama kepada kemenangan apabila tewas beberapa saat di belakang pelumba Red Bull berkenaan.
Bagaimanapun, saingan musim ini adalah yang paling panjang dalam sejarah sukan F1 apabila masih berbaki 14 perlumbaan sekali gus memberikan peluang kepada Norris untuk mencabar gelaran juara dunia.
GP Sepanyol merupakan perlumbaan pertama dalam tiga aksi yang mendebarkan di mana selepas ini para pelumba bakal bersaing di Spielberg, Austria dan diikuti Silverstone, Great Britain dua minggu berikutnya.
“Austria dan Silverstone merupakan dua trek kegemaran saya. Kami berada dalam momentum yang baik. Saya hanya perlu memperbaiki beberapa perkara dan kemudian kami akan berada di puncak,” tambah pelumba McLaren itu. – AGENSI